Tuesday, December 7, 2010

Maal Hijrah Pencetus ke Arah Perubahan

SUNTIKAN TAHUN 1432 HIJRIAH

Terpancar kegembiraan di ufuk wajah banyak orang tatkala hadirnya lembaran baru seiring dengan munculnya tahun baru ini. Namun, banyak juga orang yang tertunduk mengenangkan nasib diri yang kurang dikurniakan banyak kelebihan berbanding sebahagian yang lain ataupun terkenangkan kesilapan, keterlanjuran serta kegagalan diri di hari lampau menjadikan bagi mereka sudah tiada lagi harapan untuk mereka di hari muka.

Aneka ragam manusia dapat dilihat bukan sahaja di awal tahun baru malahan sehari-harian di dunia yang luas terbentang ini. Bukan ini yang membeza-bezakan di antara kita selaku manusia khalifah Allah di muka bumi serta hambaNya yang perlu, lagi dikehendaki untuk senantiasa patuh kepada suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mukjizat al-Quran hadir dalam hidup manusia menjelaskan semua ini, sebagaimana firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia berada dalam susah payah” (90:4). Maka, tidak hairan bagi kita sekiranya dalam kita melangkah kadang diuji dengan ujian yang terasa berat hingga kita terduduk mengalirkan butiran jernih air mata. Tatkala itu, ingatlah “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (2:286).

PEMAHAMAN AKAN KONSEP HIJRAH

Bulatkan matlamat kita, pancarkan cahaya menerangi lorong itu agar kita tetap dan sentiasa berlari menelusurinya. Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka kita selaku umat Islam perlu memahami konsep hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Daripada diri barulah lahirnya masyarakat yang dapat mendokong perjuangan Islam. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas mengenai matlamat Islam dan gerak kerja yang benar lagi teratur.

Pertama, ini hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Kedua, kita juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang bermanfaat kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan. Ketiga, kita juga perlu memahami bahawa kita merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa petunjuk dan hidayah daripada Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakanNya.

SIRAH RASULULLAH

Mari kita imbau sirah Rasulullah SAW tatkala peristiwa hijrah yang berlaku daripada Makkah ke Madinah; yang merupakan peristiwa terpenting dalam sejarah Islam kerana ia membawa kepada terbentuknya kerajaan Islam pertama dan natijahnya amat penting demi menjamin penerusan dan pengembangan dakwah Islam ke seluruh dunia. Antara kesungguhan baginda yang dapat diambil pengajaran adalah baginda tidak pernah berputus harap apatah lagi mengeluh dan terus terduduk mengenangkan nasib, sungguhpun ujian demi ujian menimpa keatas baginda dan umat Islam. Bukan sekadar dipulau oleh kaum Musyrikin, kemudian ajal datang menjemput dua insan yang menyokong penuh jalan dakwah baginda iaitu Saidatina Khadijah dan Abu Talib. Ditambah pula dengan tentangan daripada penduduk Taif.

Walau bagaimanapun, ini semua tidak pernah menjadi tembok penghalang bagi baginda. Pancutan darah yang keluar mengalir daripada kaki baginda menjadi saksi kepada ketabahan baginda dalam usaha penerusan dakwah Islam. Namun begitu, apa yang lebih penting di sisi baginda sungguhpun lontaran ancaman, paku-paku cacian dan tohmahan dilemparkan kepada baginda; matlamat baginda hanyalah, semata-mata, tiada yang lain melainkan redha Allah SWT dan baginda tidak peduli tentang penentangan dan kemarahan para pemimpin musyrikin terhadap baginda. Ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah berdasarkan dan berlandaskan batu asas yang kukuh tersemat di hati baginda iaitu kefahaman dan keimanan yang tinggi lagi mendalam terhadap perjuangan Islam dan Allah SWT. Natijahnya, dengan satu matlamat baginda ingin melihat Islam itu tertegak dan tersebar di seluruh dunia.

Selari dengan kefahaman mendalam yang dicanai dan dibentuk, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh kita sendiri selaku umat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat selagi tidak bercanggah dengan batas-batas syarak untuk bersaing dengan masyarakat lain. Kita juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Kita juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad dengan bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban dalam menuju cita-cita murni ini. Kita juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi prasyarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini. Semua ini bukan rekaan kita, namun ini semua adalah antara usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan pejuang Islam yang terdahulu. Panduan telah ada, hanya tinggal kita untuk melaksanakannya.
Firman Allah SWT, dalam menentukan arah hidup seseorang itu, yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, dan hari kemudian, sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya." (4:136)

BUKTI CINTA KITA AKAN ALLAH

Maka, wahai umat Islam satu hakikat untuk kita tekuni bersama bahawa datangnya tahun baru, usia kita bukanlah semakin baru. Namun, semakin bertambah umur kita bermakna sudah semakin bertambah tempoh masa kita pernah hidup di dunia pinjaman ini. Pada masa yang sama, semakin berkuranglah juga tempoh masa untuk kita hidup dan memanfaatnya sebelum diundang untuk kembali ke pangkuanNya. Persoalannya apakah yang kita telah lakukan dan apakah yang kita akan lakukan? Lantas, segeralah memperbaiki diri untuk masyarakat Islam demi membuktikan cinta kita kepada Allah SWT. ‘Katakanlah “Kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Katakanlah “Taatilah Allah dan RasulNya; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir”.(3:31,32)

Senario hari ini, masyarakat Islam yang kian pudar dan kian luntur kekuatan, tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Pada hakikatnya kita mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam terutamanya Rasulullah SAW dan para sahabat sendiri boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Bertitik tolak daripada inilah kita perlu segera bertindak ke arah itu.

“Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Menyedari hakikat jalan hidup ini adalah sukar dan meyakini akan janji Allah, “Kerana sesungguhya sesudah kesulitan ada kemudahan” (94:5); “…Adalah janjiNya itu pasti terlaksana” (73:18) Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan. Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi. Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan. Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan. Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan. Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan. Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan hati. Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti. Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan. Ambillah waktu untuk beramal dan berjihad, itu adalah kunci menuju syurga.


Wahai ananda ratna manikam,
Berpegang teguhlah kepada Islam;
Banyakkan amal siang dan malam,
Supaya hidupmu tidak tenggelam.





Hasil Nukilan:
Saudara Muhammad Asyraf Bin Kosnan

Editor:
Ahmad Syafieq Bin Shamsuddin

Friday, March 12, 2010

Berubah...

Salamullahi alaikum…

Kita mengharapkan agar Allah s.w.t sentiasa mengurniakan taufiq dan hidayahNya dalam memandu kehidupan kita di atas muka bumi ini.

Sudah sekian lama rasanya,saya meninggalkan dunia blogger ini.Bukan niat di hati untuk tidak menulis buat sekian lama,tetapi akibat kekangan waktu dan keringnya idea.Walaupun sedemikian,perlu diingatkan bahawa bukan semua perkara perlu untuk kita tulis di atas lembaran dunia siber ini,tetapi proses penulisan tersebut perlu melalui beberapa mekanisma tapisan.Antaranya perlu ada beberapa persoalan seperti adakah penulisan ku ini memberi kebaikan kepada diri dan orang lain umumnya?Adakah penulisanku ini bertunjangkan hawa nafsu ataupun akal semata-mata?Adakah penulisanku ini ingin mendapat perhatian manusia ataupun perhatian Allah s.w.t?

Mengikut kepada kewujudan mekanisme tapisan itu,saya sentiasa bertanyakan pada diri sendiri,adakah perlu bagi saya menulis pada ketika ini?Ditambah pula dengan kebuntuan idea,saya serba salah untuk menulis.Apakah isi pokok yang ingin saya sampaikan?Bermacam-macam lagi persoalan yang timbul.Lagipun,sesuatu penulisan itu memerlukan idea yang mantap serta kukuh dan seseorang individu itu juga perlu kreatif dan berfikiran matang agar penulisan yang terhasil juga kreatif dan matang.Dan bukan setiap penulisan perlu untuk kita tulis sehingga menyebabkan perkara yang tidak sepatutnya didedahkan.Penulisan ibarat percakapan.Dan percakapan seharian kitapun perlu bertapis.Begitulah jua dengan penulisan.Bagaimana anjuran Islam dalam percakapan?Islam menggalakkan umatnya supaya hanya berkata perkara yang perlu sahaja(Amar Ma’ruf Nahi Mungkar) dan seandainya tidak perlu,seharusnya diam.

Lisan lebih tajam daripada mata pedang.Dengan lisan,kita boleh merosakkan hubungan sesama manusia melalui kata-kata fitnah.Dengan lisan,kita boleh mengaburi penglihatan masyarakat melalui cerita-cerita dusta.Dengan lisan juga,kita boleh menyebabkan pergaduhan malahan membawa kepada pembunuhan melalui kata-kata hasutan,kesat,keji dan bermacam-macam lagi.Jelasnya,kita sebagai Muslim perlu menitikberatkan penulisan dan percakapan kerana kesemua itu melambangkan keperibadian seseorang.Dan setiap apa yang kita perkatakan akan dipersoalkan oleh Allah kelak di hari Penghisaban.Berapa ramai dalam kalangan manusia yang dicampakkan oleh Allah ke dalam Neraka disebabkan tidak menjaga tutur kata?Hendakkah kita menjadi golongan yg muflis di hadapan Allah kelak?Tepuk dada Tanya iman.

Fokus utama penulisan saya pada kali ini berkait rapat dengan At-tazkiyah.At-tazkiyah bermaksud penyucian.Sesungguhnya,bagi seseorang Muslim itu perlu bagi dirinya mempunyai hati,jiwa yang suci dan jauh daripada unsur-unsur jahiliah.Memandang kita pada hari ini berada pada zaman akhir zaman,zaman yang penuh dengan fitnah maka kita seharusnya sentiasa berusaha menyucikan jiwa daripada dinodai.Jika kita lihat keadaan masyarakat pada hari ini,mereka seakan-akan sudah kembali mengamalkan apa yang dilakukan oleh masyarakat jahiliah sebelum kedatangan pesuruh Allah,Nabi Muhammad s.a.w. malahan lebih teruk lagi seandainya dibandingkan.Ramai dalam kalangan umat pada hari ini tanpa segan silu berzina,minum arak,ikhtilat(pergaulan) tidak syarie antara lelaki dan perempuan dan berlakunya pembuangan anak luar nikah secara berleluasa.Tambahan pula,masyarakat pada zaman ini melebihkan hiburan semata-mata tanpa menghiraukan aspek kerohanian dalam diri.Kita dapat lihat bagaimana artis disanjung tinggi,program-program reality tv disiarkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan.Malangnya,golongan Ulama’ dipandang lekeh malahan tidak mendapat tempat di hati masyarakat.Ini semua berlaku atas sebab tidak kukuhnya pegangan terhadap agama malahan lemahnya penghayatan terhadap agama Islam itu sendiri.Jadi,sebagai persiapan diri untuk menghadapi keadaan zaman kini yang penuh mencabar ini,perlu bagi kita selaku Muslim memberi perhatian terhadap penyucian jiwa.Al-Quran dan As-Sunnah memberi keprihatinan yg jitu terhadap penyucian jiwa.

Menurut Al-Quran

Firman Allah Taala dalam surah Asy-Syams: 7-10

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadian(dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).Serta mengilhamkannya(untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertaqwa.Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih(dengan iman dan amal kebaikan).Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya(dengan sebab kekotoran maksiat).

Kita sebagai manusia diberikan akal fikiran untuk memilih,sama ada jalan kejayaan ataupun sebaliknya ya’ni jalan kekecewaan.Jika jalan kejayaan yang hendak kita tempuh,maka usaha ke arah taqwa perlu dilakukan dengan melakukan amal kebaikan.Jika sebaliknya,kita mengambil risiko menanggung derita di hari kelak.

Firman Allah Taala dalam surah Ali Imran: 164

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan(rahmat-Nya)kepada orang-orang yang beriman,setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah(kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka(daripada I’tikad yang sesat) serta mengajar mereka Kitab Allah(Al-Quran) dan Hikmah(pengetahuan mendalam mengenai hokum-hukum syariat).Dan sesungguhnya mereka sebelum(kedatangan nabi Muhammad)itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Melalui ayat di atas tadi,kita dapati bahawa antara nikmat yang dianugerahkan oleh Allah terhadap orang Mukmin adalah dengan datangnya,diutuskan Rasulullah terhadap mereka.Melalui perantaraan Malaikat Jibrail,Rasulullah menerima wahyu daripada Allah yang kemudiannya dibacakan kepada orang Mukmin yang mana dengan turunnya Al-Quran,membersihkan diri mereka daripada segala macam unsur kesesatan mahupun kejahilan.Jelas di sini bahawa antara peranan Rasulullah ialah menyucikan mereka.Wajar diperhatikan dalam ayat ini bahawa Allah mendahulukan penyucian jiwa berbanding pengajaran Al-Kitab dan Hikmah.

Pernah suatu ketika,di mana Imam As-Syafie mengadukan perihal lemahnya hafalan kepada gurunya Imam Waqi’.Gurunya memberi pesanan supaya ditinggalkan maksiat kerana dengan melakukan maksiat,menutup pintu hati untuk menerima hidayah Allah dan ilmu kerana sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya,dan cahaya Allah itu tidak akan diperolehi bagi mereka yang melakukan maksiat.

Menurut As-Sunnah

Rasulullah s.a.w selalu mengamalkan doa yang berbunyi:

Ya Allah,kurniakanlah ketaqwaan kepada jiwa saya.Sucikanlah jiwa ini.Engkaulah sebaik-baik yang menyucikannya.Engkaulah Penjaga dan Tuannya.
(Riwayat Muslim daripada Zaid Bin Arqam)


Melalui doa yang tertera di atas,kita dapat membuat kesimpulan bahawa Rasulullah s.a.w sangat menitikberatkan soal kesucian jiwa.Di mana kesucian jiwa ini amat penting dalam melahirkan insan,hamba yang berjiwa Rabbaniyah.Setiap apa yang dilakukan,setiap apa yang berlaku di atas muka bumi ini sentiasa dikaitkan dengan Allah s.w.t dan dia meyakini bahawasanya Allah sentiasa memerhati,mengawasi tingkah lakunya.

Kita Diberi Pilihan

Sesungguhnya,langkah ke arah penyucian jiwa ini ataupun perubahan diri untuk menjadi baik mahupun lebih baik terletak pada bahu insan itu sendiri.Merekalah yang mampu menentukan siapakah diri mereka di atas muka ini sama ada golongan yang membuat kebaikan ataupun golongan yang melakukan kejahatan.Dan segala-galanya bergantung pada kita sendiri sebagaimana Firman Allah Taala dalam Surah Ar-Ra’d:Ayat 11)

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Kita sebagai hamba Allah perlu sentiasa memohon hidayah daripadaNya agar kita diberikan kekuatan untuk berubah,mampu untuk menghadapi onak duri,liku-liku perjalanan hidup di atas muka bumi sebelum kehidupan di alam yang kekal abadi kelak.Dan kita sememangnya tidak menafikan bahawa Allah s.w.t Berkehendak dan Maha Berkuasa dalam memberikan hidayah kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya.Oleh itu,bagi mereka yang mendapat hidayah itu,seharusnya berusaha bersungguh-sungguh dalam menerima dan mematuhi hidayah tersebut.Seandainya terlaksana maka Allah akan mengganjari mereka dengan menambahkan hidayah,bahkan mendapat anugerah yang lebih mendalam dan sempurna lagi.Firman Allah Taala:

Dan orang-orang yang menerima petunjuk,Allah ,menambahi mereka dengan hidayah dan petunjuk serta memberi kepada mereka(dorongan) untuk bertaqwa.(Muhammad:17)

Jelas di sini bahawa proses penyucian jiwa memerlukan kepada hidayah dan petunjuk daripada Allah.Dengan keazaman dan keikhlasan dalam merubah diri,maka akan terhasillah hamba Allah yang bertaqwa yang mana gambaran hati sanubari mereka ini,gementar dengan kehebatan Allah,takutkan kemurkaanNya,memburu keredhaanNya.Dan sesungguhnya inilah merupakan anugerah Allah kepada mana-mana hamba yang dikehendakiNya ketika mana mereka menerima dan mematuhi hidayah dan ingin mencapai keredhaan Allah.

Pemeliharaan Allah

Kita perlu yakin bahawa Allah sentiasa bersama dengan kita,dengan syarat kita menjadi hambaNya yang patuh.Pemeliharan Allah akan dikurniakan kepada mana-mana hamba yang benar-benar dalam langkah perubahan,langkah menyucikan diri semata-mata ingin menuntut redha Allah s.w.t.Dalam sebuah hadith qudsi daripada Allah s.w.t.:

Sesiapa yang menghampiriKu sejengkal,Aku akan menghampirinya sehasta.Sesiapa yang menghampiriKu sehasta,Aku akan menghampirinya sedepa.Sesiapa yang datang kepadaKu berjalan,Aku akan datang kepadanya berlari.

Ayuh,sahabat-sahabat!!!

Marilah kita bersama-sama bangun,berusaha mengubah diri,memperbaiki diri dengan memohon bantuan daripada Allah agar kita menjadi hambaNya yang bertaqwa.

Design by Dzelque Blogger Templates 2008

Design by infinityskins.blogspot.com 2008