Friday, May 6, 2011

Tarkul Ma'asi

Maksiat merupakan salah satu persoalan utama dalam kehidupan seorang Muslim.Sebagai hamba Allah yang dikurniakan pelbagai nikmat,sudah semestinya menjadi kewajipan kita untuk mentaatiNya,baik melakukan segala perintah mahupun meninggalkan segala laranganNya.Sebagaimana firman Allah S.W.T :


يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون

Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.
Surah Al-Baqarah (ayat 21)

Sesungguhnya,kefardhuan yang telah Allah tetapkan untuk kita tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai satu ikatan hubungan antara hamba dengan Tuhannya yang mana mendekatkan diri kita kepadaNya.Sabda Rasulullah S.A.W:

ما تقرب إلي المتقربون بمثل أداء ما افترضت عليهم

Apa yang mendekatkan diri mereka kepada Allah adalah dengan menunaikan apa yang telah difardhukan ke atas mereka.

Bagi mereka yang tetap di atas jalan kebenaran,istiqamah dalam melakukan amal kebaikan,menjaga segala batasan yang telah Allah tetapkan,maka khabar gembira bagi mereka yakni mendapat ni’mat SyurgaNya.Firman Allah Taala:

وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

Mereka yang memelihara hukum-hakam Allah.Dan gembirakanlah orang-orang Mu’min.
Surah At-Taubah (Ayat 112)

Namun,ketaatan kita kepada Allah Azza Wa Jalla akan terhalang iaitu kita menjadi berat untuk beramal ibadah apabila maksiat bertakhta dalam diri kita.Maksiat yang dilakukan oleh seseorang hamba itu akan menjadikan hatinya makin pudar,gelap untuk menerima suluhan hidayah Allah.Apabila maksiat tersebut sudah sebati dalam diri,maka Allah akan menutup pintu hatinya dan akhirnya diri susah untuk khusu’ beribadah kepadaNya.Firman Allah Taala:


Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyu'.

Jelas di sini bahawasanya,persoalan maksiat ini perlu dititikberatkan oleh jiwa setiap Muslim.Ia merupakan pembunuh rohani kita yang mana menghalang diri untuk mencapai satu darjat yang mulia di sisi Allah,memiliki hati yang tulus suci.Hati tersebut penuh dengan keimanan yang tulen sehingga pada satu tahap,keinginan untuk beriman kepada Allah bukan disebabkan takutkan azabNya,tamakkan ganjaran pahalaNya akan tetapi hati yang benar-benar cintakan Allah,sentiasa merindui untuk bertemu denganNya.

Jadi,apakah itu maksiat…?

و الإثم ما حاك في نفسك وكرهت أن يطلع عليه الناس

Dosa itu adalah apa yang menggelisahkan hati kamu dan kamu tidak suka ia diketahui oleh manusia.

Itulah ia maksiat yang selama ini menghantui kehidupan kita.Menghalang diri kita daripada melakukan ketaatan kepada Allah.Marilah sama-sama kita refleksi,muhasabah apa yang telah dilakukan oleh anggota tubuh badan pada setiap hari,baik matanya,telinga,mulut,tangan,kaki dan anggota yang lain.Adakah kesemua itu digunakan atas landasan ketaatan kepada Allah atau sebaliknya.Jika tidak,ketahuilah bahawasanya kesemua anggota itu akan menjadi saksi atas diri kita pada hari Penghisaban kelak.Mulut yang selama ini sentiasa berdusta maka pada hari tersebut,Allah tutup daripada bercakap memberi alasan.


الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.
Surah Yaasin (Ayat 65)


Kadang-kala,kita tahu sesuatu perkara itu merupakan maksiat,mendatangkan dosa tetapi mengapa kita sebagai manusia,diutuskan pesuruhNya Rasulullah,mengajarkan kepada kita Islam,diberikan kitab suci Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan tetap melakukan maksiat kepada Allah.

Itulah kita manusia.Manusia yang sentiasa lupa.Lupa mengingati bahawasanya ada Allah yang mentadbir alam ini.Mengurniakan kepada kita kurniaan limpahan ni’mat yang tidak terkira banyaknya.Sebagaimana teguran yang Allah berikan kepada manusia dalam ayatNya yang berbunyi:


Hai manusia,apakah yang telah memperdayakan kamu(cuai,derhaka) dalam kewajipan terhadap Tuhanmu Yang Maha Mulia.
Surah Al-Infithoor (Ayat 6)

Apakah punca manusia lalai,cuai dalam melakukan kewajipan terhadap Allah…?


Bukan hanya durhaka sahaja,bahkan kamu mendustakan Hari Pembalasan.
Surah Al-Infithoor (Ayat 9)


Mereka lupa akan Hari Penghisaban yang berlaku kelak.Malah,mereka mendustakannya.Mereka bukannya tidak beriman,malahan apabila ditanyakan tentang Hari Qiamat,Hari akhirat mereka melafazkan,mengakui beriman dengannya.Akan tetapi,mereka tidak sedar bahawasanya mereka mendustakannya dengan leka,lalai,cuai dalam mempersiapkan bekalan untuk akhirat.

Mereka juga lupa bahawasanya Allah mewakilkan malaikat untuk mengawasi kita hambaNya,mencatat segala apa yang kita lakukan.


Sesungguhnya bagi kamu ada(malaikat-malaikat) yang mengawasi(pekerjaanmu).
Surah Al-Infithoor(Ayat 10)


Yang mulia (di sisi Allah) dan yang mencatat.
Surah Al-Infithoor(ayat 11)


Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Surah Al-Infithoor (Ayat 12)

Hanya apabila suasana qiamat itu berlaku di hadapan kepala mata mereka sendiri,barulah mereka sedar,insaf akan apa yang telah mereka persiapkan selama ini di dunia.










Apabila langit terbelah,

Dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan,

Dan apabila lautan dijadikan meluap,

Dan apabila kuburan-kuburan dibongkar,

Maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan untuk akhirat dan apa yang telah dilakukan,dicuaikan sebelumnya.

Surah Al-Infithoor (Ayat 1-5)

Oleh itu,sebagai seorang Muslim yang sentiasa melakukan dosa kepadaNya,bersegeralah ke arah pengampunanNya dengan bertaubat kepada Allah.Perbanyakkan istighfar,berdoa kepada Allah supaya kita ditetapkan iman,diberikan hidayah oleh Allah S.W.T sehinggalah kita mencapai kesudahan yang baik(husnul khatimah).Sentiasalah bersama-sama dengan orang Soleh,mereka yang sentiasa ingat pada Allah,istiqamah dalam amal kebaikan,berlumba-lumba mempersiapkan bekalan di akhirat kelak,merekalah yang akan menjadi cermin bagi diri kita,saling nasihat-menasihati ke arah kebajikan semata-mata ingin mencapai keredhaanNya.

Sesungguhnya,usaha memerangi ma’rikah(peperangan) nafsu,syaitan daripada terjatuh ke dalam lembah maksiat perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh serta berterusan sehinggalah kita dijanjikan Syurga Allah.



Dan orang-orang yang berjihad untuk(mencari keredhaan) Kami,benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.
Surah Al-‘Ankabuut(Ayat 69)

Design by Dzelque Blogger Templates 2008

Design by infinityskins.blogspot.com 2008