Friday, March 12, 2010

Berubah...

Salamullahi alaikum…

Kita mengharapkan agar Allah s.w.t sentiasa mengurniakan taufiq dan hidayahNya dalam memandu kehidupan kita di atas muka bumi ini.

Sudah sekian lama rasanya,saya meninggalkan dunia blogger ini.Bukan niat di hati untuk tidak menulis buat sekian lama,tetapi akibat kekangan waktu dan keringnya idea.Walaupun sedemikian,perlu diingatkan bahawa bukan semua perkara perlu untuk kita tulis di atas lembaran dunia siber ini,tetapi proses penulisan tersebut perlu melalui beberapa mekanisma tapisan.Antaranya perlu ada beberapa persoalan seperti adakah penulisan ku ini memberi kebaikan kepada diri dan orang lain umumnya?Adakah penulisanku ini bertunjangkan hawa nafsu ataupun akal semata-mata?Adakah penulisanku ini ingin mendapat perhatian manusia ataupun perhatian Allah s.w.t?

Mengikut kepada kewujudan mekanisme tapisan itu,saya sentiasa bertanyakan pada diri sendiri,adakah perlu bagi saya menulis pada ketika ini?Ditambah pula dengan kebuntuan idea,saya serba salah untuk menulis.Apakah isi pokok yang ingin saya sampaikan?Bermacam-macam lagi persoalan yang timbul.Lagipun,sesuatu penulisan itu memerlukan idea yang mantap serta kukuh dan seseorang individu itu juga perlu kreatif dan berfikiran matang agar penulisan yang terhasil juga kreatif dan matang.Dan bukan setiap penulisan perlu untuk kita tulis sehingga menyebabkan perkara yang tidak sepatutnya didedahkan.Penulisan ibarat percakapan.Dan percakapan seharian kitapun perlu bertapis.Begitulah jua dengan penulisan.Bagaimana anjuran Islam dalam percakapan?Islam menggalakkan umatnya supaya hanya berkata perkara yang perlu sahaja(Amar Ma’ruf Nahi Mungkar) dan seandainya tidak perlu,seharusnya diam.

Lisan lebih tajam daripada mata pedang.Dengan lisan,kita boleh merosakkan hubungan sesama manusia melalui kata-kata fitnah.Dengan lisan,kita boleh mengaburi penglihatan masyarakat melalui cerita-cerita dusta.Dengan lisan juga,kita boleh menyebabkan pergaduhan malahan membawa kepada pembunuhan melalui kata-kata hasutan,kesat,keji dan bermacam-macam lagi.Jelasnya,kita sebagai Muslim perlu menitikberatkan penulisan dan percakapan kerana kesemua itu melambangkan keperibadian seseorang.Dan setiap apa yang kita perkatakan akan dipersoalkan oleh Allah kelak di hari Penghisaban.Berapa ramai dalam kalangan manusia yang dicampakkan oleh Allah ke dalam Neraka disebabkan tidak menjaga tutur kata?Hendakkah kita menjadi golongan yg muflis di hadapan Allah kelak?Tepuk dada Tanya iman.

Fokus utama penulisan saya pada kali ini berkait rapat dengan At-tazkiyah.At-tazkiyah bermaksud penyucian.Sesungguhnya,bagi seseorang Muslim itu perlu bagi dirinya mempunyai hati,jiwa yang suci dan jauh daripada unsur-unsur jahiliah.Memandang kita pada hari ini berada pada zaman akhir zaman,zaman yang penuh dengan fitnah maka kita seharusnya sentiasa berusaha menyucikan jiwa daripada dinodai.Jika kita lihat keadaan masyarakat pada hari ini,mereka seakan-akan sudah kembali mengamalkan apa yang dilakukan oleh masyarakat jahiliah sebelum kedatangan pesuruh Allah,Nabi Muhammad s.a.w. malahan lebih teruk lagi seandainya dibandingkan.Ramai dalam kalangan umat pada hari ini tanpa segan silu berzina,minum arak,ikhtilat(pergaulan) tidak syarie antara lelaki dan perempuan dan berlakunya pembuangan anak luar nikah secara berleluasa.Tambahan pula,masyarakat pada zaman ini melebihkan hiburan semata-mata tanpa menghiraukan aspek kerohanian dalam diri.Kita dapat lihat bagaimana artis disanjung tinggi,program-program reality tv disiarkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan.Malangnya,golongan Ulama’ dipandang lekeh malahan tidak mendapat tempat di hati masyarakat.Ini semua berlaku atas sebab tidak kukuhnya pegangan terhadap agama malahan lemahnya penghayatan terhadap agama Islam itu sendiri.Jadi,sebagai persiapan diri untuk menghadapi keadaan zaman kini yang penuh mencabar ini,perlu bagi kita selaku Muslim memberi perhatian terhadap penyucian jiwa.Al-Quran dan As-Sunnah memberi keprihatinan yg jitu terhadap penyucian jiwa.

Menurut Al-Quran

Firman Allah Taala dalam surah Asy-Syams: 7-10

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadian(dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).Serta mengilhamkannya(untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertaqwa.Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih(dengan iman dan amal kebaikan).Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya(dengan sebab kekotoran maksiat).

Kita sebagai manusia diberikan akal fikiran untuk memilih,sama ada jalan kejayaan ataupun sebaliknya ya’ni jalan kekecewaan.Jika jalan kejayaan yang hendak kita tempuh,maka usaha ke arah taqwa perlu dilakukan dengan melakukan amal kebaikan.Jika sebaliknya,kita mengambil risiko menanggung derita di hari kelak.

Firman Allah Taala dalam surah Ali Imran: 164

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan(rahmat-Nya)kepada orang-orang yang beriman,setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah(kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka(daripada I’tikad yang sesat) serta mengajar mereka Kitab Allah(Al-Quran) dan Hikmah(pengetahuan mendalam mengenai hokum-hukum syariat).Dan sesungguhnya mereka sebelum(kedatangan nabi Muhammad)itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Melalui ayat di atas tadi,kita dapati bahawa antara nikmat yang dianugerahkan oleh Allah terhadap orang Mukmin adalah dengan datangnya,diutuskan Rasulullah terhadap mereka.Melalui perantaraan Malaikat Jibrail,Rasulullah menerima wahyu daripada Allah yang kemudiannya dibacakan kepada orang Mukmin yang mana dengan turunnya Al-Quran,membersihkan diri mereka daripada segala macam unsur kesesatan mahupun kejahilan.Jelas di sini bahawa antara peranan Rasulullah ialah menyucikan mereka.Wajar diperhatikan dalam ayat ini bahawa Allah mendahulukan penyucian jiwa berbanding pengajaran Al-Kitab dan Hikmah.

Pernah suatu ketika,di mana Imam As-Syafie mengadukan perihal lemahnya hafalan kepada gurunya Imam Waqi’.Gurunya memberi pesanan supaya ditinggalkan maksiat kerana dengan melakukan maksiat,menutup pintu hati untuk menerima hidayah Allah dan ilmu kerana sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya,dan cahaya Allah itu tidak akan diperolehi bagi mereka yang melakukan maksiat.

Menurut As-Sunnah

Rasulullah s.a.w selalu mengamalkan doa yang berbunyi:

Ya Allah,kurniakanlah ketaqwaan kepada jiwa saya.Sucikanlah jiwa ini.Engkaulah sebaik-baik yang menyucikannya.Engkaulah Penjaga dan Tuannya.
(Riwayat Muslim daripada Zaid Bin Arqam)


Melalui doa yang tertera di atas,kita dapat membuat kesimpulan bahawa Rasulullah s.a.w sangat menitikberatkan soal kesucian jiwa.Di mana kesucian jiwa ini amat penting dalam melahirkan insan,hamba yang berjiwa Rabbaniyah.Setiap apa yang dilakukan,setiap apa yang berlaku di atas muka bumi ini sentiasa dikaitkan dengan Allah s.w.t dan dia meyakini bahawasanya Allah sentiasa memerhati,mengawasi tingkah lakunya.

Kita Diberi Pilihan

Sesungguhnya,langkah ke arah penyucian jiwa ini ataupun perubahan diri untuk menjadi baik mahupun lebih baik terletak pada bahu insan itu sendiri.Merekalah yang mampu menentukan siapakah diri mereka di atas muka ini sama ada golongan yang membuat kebaikan ataupun golongan yang melakukan kejahatan.Dan segala-galanya bergantung pada kita sendiri sebagaimana Firman Allah Taala dalam Surah Ar-Ra’d:Ayat 11)

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Kita sebagai hamba Allah perlu sentiasa memohon hidayah daripadaNya agar kita diberikan kekuatan untuk berubah,mampu untuk menghadapi onak duri,liku-liku perjalanan hidup di atas muka bumi sebelum kehidupan di alam yang kekal abadi kelak.Dan kita sememangnya tidak menafikan bahawa Allah s.w.t Berkehendak dan Maha Berkuasa dalam memberikan hidayah kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya.Oleh itu,bagi mereka yang mendapat hidayah itu,seharusnya berusaha bersungguh-sungguh dalam menerima dan mematuhi hidayah tersebut.Seandainya terlaksana maka Allah akan mengganjari mereka dengan menambahkan hidayah,bahkan mendapat anugerah yang lebih mendalam dan sempurna lagi.Firman Allah Taala:

Dan orang-orang yang menerima petunjuk,Allah ,menambahi mereka dengan hidayah dan petunjuk serta memberi kepada mereka(dorongan) untuk bertaqwa.(Muhammad:17)

Jelas di sini bahawa proses penyucian jiwa memerlukan kepada hidayah dan petunjuk daripada Allah.Dengan keazaman dan keikhlasan dalam merubah diri,maka akan terhasillah hamba Allah yang bertaqwa yang mana gambaran hati sanubari mereka ini,gementar dengan kehebatan Allah,takutkan kemurkaanNya,memburu keredhaanNya.Dan sesungguhnya inilah merupakan anugerah Allah kepada mana-mana hamba yang dikehendakiNya ketika mana mereka menerima dan mematuhi hidayah dan ingin mencapai keredhaan Allah.

Pemeliharaan Allah

Kita perlu yakin bahawa Allah sentiasa bersama dengan kita,dengan syarat kita menjadi hambaNya yang patuh.Pemeliharan Allah akan dikurniakan kepada mana-mana hamba yang benar-benar dalam langkah perubahan,langkah menyucikan diri semata-mata ingin menuntut redha Allah s.w.t.Dalam sebuah hadith qudsi daripada Allah s.w.t.:

Sesiapa yang menghampiriKu sejengkal,Aku akan menghampirinya sehasta.Sesiapa yang menghampiriKu sehasta,Aku akan menghampirinya sedepa.Sesiapa yang datang kepadaKu berjalan,Aku akan datang kepadanya berlari.

Ayuh,sahabat-sahabat!!!

Marilah kita bersama-sama bangun,berusaha mengubah diri,memperbaiki diri dengan memohon bantuan daripada Allah agar kita menjadi hambaNya yang bertaqwa.

Design by Dzelque Blogger Templates 2008

Design by infinityskins.blogspot.com 2008