Thursday, June 11, 2009

Peringatan Buat Kami



"Solat jenazah Allahyarham Ammar lepas zuhur di ARMA (Asrama Pelajar-Pelajar Melayu Mesir). Sebarkan."

Itulah mesej yang saya terima daripada seorang senior universiti seawal pagi tadi, lebih kurang dalam pukul 8 pagi.Tetapi,mesej itu saya baca satu jam kemudian kerana tidak sedar pada awalnya. Mesejnya agak ringkas tetapi meninggalkan seribu persoalan buat diri saya.

Saya tertanya-tanya keseorangan,
"Siapakah Ammar yang dimaksudkan oleh Abang Amin???"
Tanpa melengahkan masa,saya terus menghantar mesej kepada Amin bertanyakan Ammar yang mana satu.

"Ammar Zulkifli tahun 3. Accident semalam".Mesej yang saya terima kemudiannya.

Innalillahi wainna ilaihi roojiuun!!!

Abang Ammar!!!Saya tersentak seketika.Berfikir sejenak mengenangkan mukanya.

Ya Allah,bagaikan tidak percaya pada awalnya.Apabila difikir kembali, rasanya baru hari itu saya berbual dengannya.Kebetulan pada hari itu,kami solat Zuhur di masjid yang sama,Masjid Bustan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dari universiti.Ketika itu juga, salah seorang sahabat saya,Marzuki berada di situ.Kami saling bertanyakan soalan akan perihal masing-masing lebih-lebih lagi tentang pembelajaran.

Ya,itulah dia.Seorang senior yang baik dan peramah.




Teringat saya kembali di mana kami,pelajar-pelajar tahun satu pernah dikumpulkan bersama-sama abang-abang senior tahun 3 di Abbasiyah,berhampiran ARMA.
Ada sukaneka di stadium.
Antara permainan yang kami main adalah futsal dan bola tampar.Program tersebut merupakan hasil rangka seorang senior,Abang Nash demi merapatkan ukhuwah seterusnya menghilangkan jurang antara kami pelajar junior dengan senior.





Alhamdulillah.Segala-galanya berjalan dengan baik dan secara kesimpulannya,hadaf program tersebut untuk menjalin silaturahim tercapai.Ramai dalam kalangan senior yang pada sebelumnya tidak ketemu,kami jumpa.Ada yang kami tidak kenalpun sebelumnya sekurang-kurang sudah tahu nama selepas sesi ta’aruf.Allahyarham Ammar ketika itu tidak terlibat sekali dalam permainan,tetapi sibuk memegang kamera di tangan untuk menangkap gambar kami dari awal program hinggalah ke akhirnya.Allahyarham juga menjadi pembuka bicara majlis penutup yang mana selepasnya terdapat sedikit pengisian daripada Abang Irfan sebagai santapan rohani.

Saya terus berfikir,berfikir dan berfikir.Siapakah gerangan Allahyarham yang sebenar?

Persoalan tersebut bermain-main diminda akibat merasakan kekurangan ketahuan tentang dirinya.

Setelah bertemu dengan abang-abang senior yang lain di ARMA waktu tengahari,baru saya tahu bahawa Allahyarhamlah merupakan ketua batch bagi pelajar-pelajar tahun 3 Universiti Kaherah.

Ya Allah.Kau lebih sayangkan dia.Kau ambil nyawanya dahulu sebelum kami.
Gugurlah satu mutiara yang bakal bersinar kelak dalam menegakkan syiarMu Ya Allah.

Allahyarham Ammar menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari sebelumnya di tempat kejadian,tempat berlakunya kemalangan.Seramai 5 orang terlibat dalam kemalangan tersebut,2 cedera ringan manakala 2 yang lain sedang koma di hospital termasuklah Allahyarham yang telahpun pergi.Apabila mendengar khabar-khabar berita tentang bagaimana berlakunya kemalangan tersebut daripada senior,sayu suasana dibuatnya.Ada yang hendak menangis,mata kemerah-merahan dan ada yang matanya telahpun merah akibat menangis mengenangkan sahabatnya yang sudahpun pergi meninggalkan mereka.Baru sahaja semalam,Allahyarham bersama-sama dengan rakan seperjuangan, berjuang di dewan peperiksaan dalam subjek Pharmacology dan malamnya itu mereka dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham.

Sama-sama kita doakan agar mereka (Abang Akram dan Abang Aman) yang masih bersabung nyawa ketika ini, dipanjangkan umur oleh Allah agar mereka masih mempunyai peluang lagi untuk beribadah kepada Allah.

Di ARMA.
Alhamdulillah,pengurusan jenazah dapat diselesaikan dengan sempurna walaupun agak lewat pada awalnya,jenazah dihantar ke ARMA dari hospital.Sejurus menunaikan solat Zuhur secara berjemaah di surau,kami laksanakan pula Solat Jenazah di dewan besar ARMA.Tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan,kami semua berkumpul di sana,bersolat jenazah di sana sebagai tanda penghormatan kami yang terakhir kepada Allahyarham sebelum jenazah berangkat kembali ke Malaysia pada pagi keesokan harinya.Ramai yang turut hadir sebelum jenazah dihantar ke lapangan kapal terbang.Penerbangan tersebut dijangka akan tiba di Malaysia selepas 14 jam perjalanan dan jenazah akan dihantar kembali ke tanah airnya di pulau mutiara, Pulau Pinang.

"Ya Allah,alangkah pilunya hati seorang ibu yang melahirkan apabila menerima berita kematian anaknya."

"Ya Allah,alangkah sedihnya hati bapa yang bakal meratap wajah anaknya yang sudah bertutup,beserba putih."

"Ya Allah,alangkah menangisnya adik-adik untuk menerima pemergian abang sulungnya yang tersayang."

Ya Allah,Kau lebih menyayanginya.Kau cabut nyawanya sebelum Kau cabut nyawa kami.




Benarlah bahawa kematian itu merupakan petanda bagi manusia seluruhnya.Petanda bahawa kita tidak hidup selama-lamanya di atas muka bumi ini.Apabila sampai waktunya,kita akan pergi meninggalkan dunia yang fana untuk berhijrah ke alam yang seterusnya.Kemudian kita akan dihisab amalan sama ada natijahnya Syurga ataupun Neraka. Ya,manusia tidak dapat lari daripada kematian.Setiap insan yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya apabila sudah tiba waktu.Manusia tidak dapat lari hatta sekalipun berlindungkan perisai yang tebal dan kukuh.

Firman Allah Taala:
Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh
(Surah An-Nisaa’, ayat 78)

Cuma,saya bertanyakan sama ada, adakah kita sudah cukup bersedia untuk menghadapi saat kematian kita yang pastinya berlaku???Tidak kira waktu itu,kita sebagai seorang pelajar di sekolah rendah, menengah,pelajar dalam negara mahupun luar negara,adakah kita yakin bahawa kita akan mati dalam keadaan husnul khatimah???Atau mati dalam keadaan suul khatimah, bergelumang dengan dosa serta tidak sempat bertaubat???Nauzubillah.

Bagi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan di Mesir,cukuplah kematian Allahyarham Ammar sebagai peringatan buat kami di perantauan bahawa mati tidak mengenal usia dan tempat.Di mana-mana sahaja boleh berlaku,tidak terlalu cepat dan tidak pula terlalu lambat tetapi semuanya tepat pada waktunya mengikut ketetapan yang telah Allah tetapkan.

Ingatlah!!!Peringatan buat kami semua.Peringatan buat kita semua.

Semuga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan kasih sayang daripada Allah dan harapannya,mereka yang masih dalam keadaan koma sedar kembali supaya mereka dapat bersama-sama dengan kita semua dalam meneruskan amal ibadah kepada Allah.
Al-fatihah.

"Wahai ummi,ayah yang dicintai,disayangi dan dirindui!!!
Andai along mati di bumi Mesir ini,redhailah akan pemergian anakmu ini."


Wallahu ‘alam.


AHMAD SYAFIEQ BIN SHAMSUDDIN,
TAHUN SATU, UNIVERSITI KAHERAH,
SAYYEDA ZAINAB, KAHERAH,
MESIR.

11.00 malam/Khamis/12 Jun 2009

Monday, June 8, 2009

Langkah Pertama

Salamullahi ‘alaikum…

Alhamdulillah saya panjatkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah disebabkan diberikan kesempatan masa untuk menulis.
Sudah lama rasanya diri ini tidak menulis.Hampir sebulan lebih kalau dikira-kira.Banyak faktor yang menjadi penghalang antaranya
kesuntukan masa, ditambah pula dengan sibuk membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun.Bukan itu sahaja, malahan kebuntuan
idea juga menjadi dinding penghadang untuk menulis.

Cuma pada kali ini, terdetik di hati untuk tetap menulis.Tambahan pula, fatrah peperiksaan universiti yang semakin hampir ke bahagian penghujungnya, memberi
sedikit ruang waktu untuk diri ini berkarya.
Setakat ini, antara bentuk peperiksaan yang sudah selesai diambil adalah praktikal & written.Jadi, tumpuan buat masa ini hanya tertumpu kepada bahagian oral (lisan).
Alhamdulillah, hari ini (Isnin) bertarikh 8 Jun 2009 saya baru sahaja selesai mengambil ujian oral bagi subjek anatomy.


Suasana Ketika Exam Oral Anatomy


Anatomy???

Ya,subjek anatomy.
Antara subjek yang menjadi igauan bagi pelajar-pelajar perubatan terutamanya, lebih-lebih lagi pelajar yang baru hendak berjinak-jinak dengannya.
Sememangnya, banyak perkara yang perlu diketahui dan bukan sahaja perlu diambil tahu tetapi perlu disimpan di kepala.
Terus terang saya katakan,saya berasa agak gemuruh pada awalnya sebelum menduduki ujian bagi subjek ini.



Antara calon yang bakal disoal




Tetapi ini tidak bermakna tiada perasaan sebegitu bagi subjek-subjek yang lain. Manusia mana yang tidak berasa gemuruh setiap kali menghadapi sesuatu ujian
apatah lagi ujian tersebut berkait rapat dengan soal masa hadapan kita dari sudut kejayaan dunia.Namun segalanya berjalan dengan baik.
Pendek cerita, langkah pertama ini ya’ni bagi bahagian oral dipermudahkan jalan oleh Allah.Berbaki 3 lagi subjek selepas ini ya’ni Biochemistry, Histology & Physiology.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gemuruhnya hati hambaNya ini setiap kali menanti tibanya waktu peperiksaan bagi setiap subjek.Tambahan pula, inilah merupakan pengalaman pertama diri menduduki peperiksaan di peringkat universiti lebih-lebih lagi di luar negara ini.Lagipun, sistemnya berkemungkinan agak berbeza jika hendak dibandingkan dengan sistem di tanah air sendiri.

Apa yang hendak saya kongsikan di sini adalah dari sudut pengalamannya.Pengalaman menduduki peperiksaan oral (lisan).Lumrah bagi setiap masa, acap kali menjelangnya sesuatu peperiksaan pelbagai persiapan dibuat untuk menghadapinya.Ketika itulah,buku yang tidak pernah disentuh dibelak-belak isi kandungannya, latihan yang sebelum ini tidak terusik hampir keseluruhan disiapkan.Malahan, ada yang sanggup berjaga hingga lewat malam semata-mata bagi memantapkan persiapan menghadapi peperiksaan tersebut. Pendek kata,masing-masing berusaha keras untuk mencapai kejayaan.


Bentuk perbincangan yang berlaku




‘Langit tidak selalu cerah’.

Itulah yang cuba saya perkatakan pada penulisan kali ini.Berkemungkinan kita sudahpun membuat persiapan sehabis baik mengikut penilaian diri kita sendiri.Dan berkemungkinan persiapan itu tidak menepati apa sepatutnya yang akan kita hadapi.Kita baca bahagian ini, keluar soalannya bahagian lain.Itulah antara fenomena yang sering berlaku dalam lubuk peperiksaan.Apa yang kita jangka,rupa-rupanya jauh lebih ketinggalan daripada realiti yang sebenar.

‘’Seandai begitulah keadaannya, lebih baik tidak perlu bersungguh-sungguh daripada kebuntuan akibat bersungguh-sungguh.’’Mungkin ada golongan yang berpendapat sedemikian.Mereka menganggap bahawa usaha yg sehabis baikpun tidak menjamin natijah yang memuaskan.Apatah lagi yang sebaliknya.
Tidak!!!Jangan mudah beranggapan sedemikian.Bukankah nilai usaha yg bersungguh-sungguh itu amat bermakna pada diri kita???Bukankah Allah menyukai setiap pekerjaan,amal perbuatan yg dilakukan dengan bersungguh-sungguh???Dan itulah sebenarnya titik tolak perbandingan antara usaha yang dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan sambil lewa.Mereka yang tekun,bersungguh-sungguh dalam usaha lebih disukai dan dicintai oleh Allah, bersyaratkan keikhlasan di hati.Kebarangkalian,natijah yang kurang baik atas usaha yang bersungguh-sungguh itu mengajar erti kesabaran dalam diri manusia.Semestinya, itu merupakan salah satu bentuk ujian yang Allah duga.Sama ada adakah kita akan merungut, atau kita tetap terus berpijak di atas landasan istiqamah.


Buntu,gemuruh sebelum sessi soal jawab


Bagaimana pula dengan golongan yg sebaliknya???
Mereka cukup bernasib baik.Usaha yang berkemungkinan tidak seberapa tetapi segalanya dipermudahkan.Adakah kita sedar bahawa itu semua juga merupakan petanda daripada Allah.Petanda menunjukkan bahawa Allah juga ingin menguji kita.Adakah kita akan bersyukur seandainya mendapat ni’mat sebegitu???Adakah kita akan berusaha berubah untuk menjadi golongan yang bersungguh-
sungguh,atau tetap mengharapkan keajaiban???Keajaiban yang diberikan oleh penguji dalam memberikan bantuan mahupun lintasan maklumat di kepala walaupun kita tidak berapa tahu akan perkara tersebut pada awalnya.Segala yang berlaku adalah atas izin Allah.


Cuba teka,di mana saya???

Sebagai contoh bagi diri saya sendiri,saya disoal tentang struktur yang berkedudukan di bawah satu otot di bahagian tulang pinggul (hip bone) ya’ni piriformis muscle.Antaranya ialah nerve to obturator,
sciatic nerve dan ada lagi satu struktur yang mana tidak terjawab pada asalnya akibat tidak mengambil berat akan bahagian ini.Namun, tiba-tiba terdetik di akal fikiran untuk menyebut gluteal nerve.Tetapi,
gluteal nerve ada 2 jenis,sama ada superior atau inferior gluteal nerve.Pada awalnya,sedikit ketenangan dapat saya capai namun menjadi cemas semula memikirkan jawapan antara kedua-dua pilihan.

Itulah antara realiti yang berlaku pada diri saya dan tidak dinafikan juga bagi diri kamu semua.

Persoalan utamanya di sini adalah, setakat mana tahap pergantungan kita kepada Allah???Tidak kira sama ada kita berada dalam golongan yang pertama mahupun yang kedua.
Jelasnya,Allah Maha Berkuasa dalam menentukan natijah sesuatu perkara.

Renung-renungkanlah!!!

Design by Dzelque Blogger Templates 2008

Design by infinityskins.blogspot.com 2008