Thursday, June 11, 2009

Peringatan Buat Kami



"Solat jenazah Allahyarham Ammar lepas zuhur di ARMA (Asrama Pelajar-Pelajar Melayu Mesir). Sebarkan."

Itulah mesej yang saya terima daripada seorang senior universiti seawal pagi tadi, lebih kurang dalam pukul 8 pagi.Tetapi,mesej itu saya baca satu jam kemudian kerana tidak sedar pada awalnya. Mesejnya agak ringkas tetapi meninggalkan seribu persoalan buat diri saya.

Saya tertanya-tanya keseorangan,
"Siapakah Ammar yang dimaksudkan oleh Abang Amin???"
Tanpa melengahkan masa,saya terus menghantar mesej kepada Amin bertanyakan Ammar yang mana satu.

"Ammar Zulkifli tahun 3. Accident semalam".Mesej yang saya terima kemudiannya.

Innalillahi wainna ilaihi roojiuun!!!

Abang Ammar!!!Saya tersentak seketika.Berfikir sejenak mengenangkan mukanya.

Ya Allah,bagaikan tidak percaya pada awalnya.Apabila difikir kembali, rasanya baru hari itu saya berbual dengannya.Kebetulan pada hari itu,kami solat Zuhur di masjid yang sama,Masjid Bustan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dari universiti.Ketika itu juga, salah seorang sahabat saya,Marzuki berada di situ.Kami saling bertanyakan soalan akan perihal masing-masing lebih-lebih lagi tentang pembelajaran.

Ya,itulah dia.Seorang senior yang baik dan peramah.




Teringat saya kembali di mana kami,pelajar-pelajar tahun satu pernah dikumpulkan bersama-sama abang-abang senior tahun 3 di Abbasiyah,berhampiran ARMA.
Ada sukaneka di stadium.
Antara permainan yang kami main adalah futsal dan bola tampar.Program tersebut merupakan hasil rangka seorang senior,Abang Nash demi merapatkan ukhuwah seterusnya menghilangkan jurang antara kami pelajar junior dengan senior.





Alhamdulillah.Segala-galanya berjalan dengan baik dan secara kesimpulannya,hadaf program tersebut untuk menjalin silaturahim tercapai.Ramai dalam kalangan senior yang pada sebelumnya tidak ketemu,kami jumpa.Ada yang kami tidak kenalpun sebelumnya sekurang-kurang sudah tahu nama selepas sesi ta’aruf.Allahyarham Ammar ketika itu tidak terlibat sekali dalam permainan,tetapi sibuk memegang kamera di tangan untuk menangkap gambar kami dari awal program hinggalah ke akhirnya.Allahyarham juga menjadi pembuka bicara majlis penutup yang mana selepasnya terdapat sedikit pengisian daripada Abang Irfan sebagai santapan rohani.

Saya terus berfikir,berfikir dan berfikir.Siapakah gerangan Allahyarham yang sebenar?

Persoalan tersebut bermain-main diminda akibat merasakan kekurangan ketahuan tentang dirinya.

Setelah bertemu dengan abang-abang senior yang lain di ARMA waktu tengahari,baru saya tahu bahawa Allahyarhamlah merupakan ketua batch bagi pelajar-pelajar tahun 3 Universiti Kaherah.

Ya Allah.Kau lebih sayangkan dia.Kau ambil nyawanya dahulu sebelum kami.
Gugurlah satu mutiara yang bakal bersinar kelak dalam menegakkan syiarMu Ya Allah.

Allahyarham Ammar menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari sebelumnya di tempat kejadian,tempat berlakunya kemalangan.Seramai 5 orang terlibat dalam kemalangan tersebut,2 cedera ringan manakala 2 yang lain sedang koma di hospital termasuklah Allahyarham yang telahpun pergi.Apabila mendengar khabar-khabar berita tentang bagaimana berlakunya kemalangan tersebut daripada senior,sayu suasana dibuatnya.Ada yang hendak menangis,mata kemerah-merahan dan ada yang matanya telahpun merah akibat menangis mengenangkan sahabatnya yang sudahpun pergi meninggalkan mereka.Baru sahaja semalam,Allahyarham bersama-sama dengan rakan seperjuangan, berjuang di dewan peperiksaan dalam subjek Pharmacology dan malamnya itu mereka dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham.

Sama-sama kita doakan agar mereka (Abang Akram dan Abang Aman) yang masih bersabung nyawa ketika ini, dipanjangkan umur oleh Allah agar mereka masih mempunyai peluang lagi untuk beribadah kepada Allah.

Di ARMA.
Alhamdulillah,pengurusan jenazah dapat diselesaikan dengan sempurna walaupun agak lewat pada awalnya,jenazah dihantar ke ARMA dari hospital.Sejurus menunaikan solat Zuhur secara berjemaah di surau,kami laksanakan pula Solat Jenazah di dewan besar ARMA.Tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan,kami semua berkumpul di sana,bersolat jenazah di sana sebagai tanda penghormatan kami yang terakhir kepada Allahyarham sebelum jenazah berangkat kembali ke Malaysia pada pagi keesokan harinya.Ramai yang turut hadir sebelum jenazah dihantar ke lapangan kapal terbang.Penerbangan tersebut dijangka akan tiba di Malaysia selepas 14 jam perjalanan dan jenazah akan dihantar kembali ke tanah airnya di pulau mutiara, Pulau Pinang.

"Ya Allah,alangkah pilunya hati seorang ibu yang melahirkan apabila menerima berita kematian anaknya."

"Ya Allah,alangkah sedihnya hati bapa yang bakal meratap wajah anaknya yang sudah bertutup,beserba putih."

"Ya Allah,alangkah menangisnya adik-adik untuk menerima pemergian abang sulungnya yang tersayang."

Ya Allah,Kau lebih menyayanginya.Kau cabut nyawanya sebelum Kau cabut nyawa kami.




Benarlah bahawa kematian itu merupakan petanda bagi manusia seluruhnya.Petanda bahawa kita tidak hidup selama-lamanya di atas muka bumi ini.Apabila sampai waktunya,kita akan pergi meninggalkan dunia yang fana untuk berhijrah ke alam yang seterusnya.Kemudian kita akan dihisab amalan sama ada natijahnya Syurga ataupun Neraka. Ya,manusia tidak dapat lari daripada kematian.Setiap insan yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya apabila sudah tiba waktu.Manusia tidak dapat lari hatta sekalipun berlindungkan perisai yang tebal dan kukuh.

Firman Allah Taala:
Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh
(Surah An-Nisaa’, ayat 78)

Cuma,saya bertanyakan sama ada, adakah kita sudah cukup bersedia untuk menghadapi saat kematian kita yang pastinya berlaku???Tidak kira waktu itu,kita sebagai seorang pelajar di sekolah rendah, menengah,pelajar dalam negara mahupun luar negara,adakah kita yakin bahawa kita akan mati dalam keadaan husnul khatimah???Atau mati dalam keadaan suul khatimah, bergelumang dengan dosa serta tidak sempat bertaubat???Nauzubillah.

Bagi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan di Mesir,cukuplah kematian Allahyarham Ammar sebagai peringatan buat kami di perantauan bahawa mati tidak mengenal usia dan tempat.Di mana-mana sahaja boleh berlaku,tidak terlalu cepat dan tidak pula terlalu lambat tetapi semuanya tepat pada waktunya mengikut ketetapan yang telah Allah tetapkan.

Ingatlah!!!Peringatan buat kami semua.Peringatan buat kita semua.

Semuga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan kasih sayang daripada Allah dan harapannya,mereka yang masih dalam keadaan koma sedar kembali supaya mereka dapat bersama-sama dengan kita semua dalam meneruskan amal ibadah kepada Allah.
Al-fatihah.

"Wahai ummi,ayah yang dicintai,disayangi dan dirindui!!!
Andai along mati di bumi Mesir ini,redhailah akan pemergian anakmu ini."


Wallahu ‘alam.


AHMAD SYAFIEQ BIN SHAMSUDDIN,
TAHUN SATU, UNIVERSITI KAHERAH,
SAYYEDA ZAINAB, KAHERAH,
MESIR.

11.00 malam/Khamis/12 Jun 2009

2 comments:

Husaini said...

takziah untuk saudara ammar..sama2 kita doa kesejahteraan beliau di alam barzakh sana..

Kembara Musafir said...

Insya Allah...Amin!!!
Dan semuga Allah memberikan kita kekuatan, hidayah dalam mengerjakan amal ibadah kepadaNya...

Design by Dzelque Blogger Templates 2008

Design by infinityskins.blogspot.com 2008