Wednesday, April 20, 2011

Ranjau Kehidupan...

Kehidupan di dunia ini merupakan suatu kehidupan yang berwarna-warni.Adakalanya putih,adakalanya hitam.Dan ia juga ibarat roda yang sedang berputar,sekejap di atas dan kemudiannya di bawah.Kita kadangkala naik,kadangkala turun tangga.Dan bermacam-macam lagi perumpamaan mahupun analogi yang boleh diutarakan untuk menjelaskan,menggambarkan kehidupan itu sendiri.

Bersyukur ke hadrat Ilahi atas segala nikmat yg dikurniakan.Terlalu banyak nikmat kurniaanNya ke atas diri kita sehingga ke saat ini sama ada yang masih kecil,muda mahupun yang tua.Seandainya hendak dihitung bilangannya,apatah lagi sejak bernafas di atas muka bumi ini sememangnya kita manusia tidak dapat.Kehadiran kita di atas muka bumi sebagai makhluk pilihan Allah cukup mentafsirkan betapa indahnya,hebatnya,’azimnya nikmat Allah tersebut.Kenapa saya katakan makhluk pilihan Allah…?Ya, sebagai makhluk pilihan.Sebab jikalau kita tinjau dari sudut sains,persenyawaan antara benih ibu dan ayah kita terhasil dengan begitu banyaknya bagi benih lelaki(sperma) sehingga mencapai bilangan berjuta-juta.Dan pada akhirnya,hanya satu yang berjaya menembusi membrane benih wanita(ovum) untuk menjadi zygote(hasil percantuman).Selepas melalui beberapa fasa sewaktu ibu kita mengandung,akhirnya lahirlah seorang bayi yang suci ibarat kain putih.Bayi itulah yang membesar dan membesar sehinggalah menjadi diri kita sekarang ini yang mana pada asalnya putih akan tetapi menjadi hitam akibat dosa kepada Allah.Dan sememangnya manusia tidak lari daripada melakukan dosa.Mereka yang berdosa ini akan menjadi yang terbaik sekiranya mereka bertaubat.

‘’Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan,dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan adalah orang-orang yang berataubat.’’

Bagaimana pula dengan nikmat-nikmat yang lain…?Terlampau banyak untuk dinyatakan di sini.Cukuplah kita sendiri,berfikir sejenak merenung akan nikmat tersebut supaya lahir rasa syukur dalam diri kita.Muga kita menjadi hambaNya yang pandai bersyukur…!

Pada awal penulisan saya sebelum ini,saya sebut berkenaan kehidupan dan seterusnya nikmat-nikmat Allah.Sebenarnya,saya cuba melontarkan rasa,isi hati,pendapat bahawasanya kehidupan kita di dunia ini bukanlah ibarat berjalan di atas jalan yang lurus.Di mana,jalan itu dalam keadaan yang sentiasa baik,memudahkan perjalanan untuk sampai ke destinasi yang hendak dituju tanpa ada sebarang masalah.Akan tetapi,hakikatnya perjalanan kita menuju ke destinasi tersebut dihiasi dengan bermacam-macam halangan baik dengan bengkang-bengkok jalannya,sekejapnya pula ada bukit,kemudian singgah sebentar ke rumah rehat.Halangan yang wujud bukan sahaja berbentuk luaran(keadaan jalan umpamanya) malahan dalaman yang mana melibatkan pemandu dan penumpang.Ada yang sampai ke destinasi dengan selamat,dan ada pula yang kandas di pertengahan kemungkinan akibat kelalaian ketika dalam perjalanan.

Sebelum ini,saya lihat ramai manusia yang runsing,resah memikirkan masalah yang sedang mereka hadapi.Masalah berhubung kait dengan pelajaran,pekerjaan,hubungan kejiranan,sesama kawan,ahli keluarga dan sebagainya.Bagi mereka yang ditimpa masalah,ia cukup membebankan.Merunsingkan pemikiran sehinggakan boleh mengubah gaya hidup seseorang.Daripada seorang yang baik menjadi nakal,asalnya fokus dalam pelajaran tiba-tiba bermasalah,dahulunya periang,peramah akibat masalah yang timbul akhirnya menjadi murung dan pendiam.Asalnya kuat pegangan terhadap agama,tetapi apabila diuji oleh Allah pegangan itu kian longgar.

Benarlah,kita tidak lari daripada masalah…!Allah hendak menguji siapa dalam kalangan hambaNya yang sabar menghadapi dugaan,redha dengan apa yang diterima,beriman denganNya malahan merupakan hambaNya yang bertaqwa.

Tetapi,apa pandangan kita terhadap mereka yang ditimpa masalah ini…?

Kemungkinan kita akan berkata,’’Alah,biasalah itu.Masalah,kan…!Semua orang ada masalah.Akupun ada masalah macam Kau.Tapi taklah tensiom macam Kau ni…!’’

‘’Sabarlah,kawan…!Mungkin ada hikmah Kau diuji macam ini.Mungkin tampak ringan di mata orang,tapi siapalah yang lebih tahu daripada orang yang merasa.Kembalilah kepada Allah yang mendatangkan ujian ni.’’

Ada juga sebahagian yang langsung tidak ambil peduli akan perubahan rakannya,alasan mereka tidak mahu ambil tahu masalah orang,takut susahkan diri sendiri pula.Kalau tidakpun,menambah lagi masalah yang sedang mereka hadapi.

Apa yang cuba saya lontarkan di sini adalah,wujud pelbagai tafsiran,respon dalam kalangan mereka yang berada di sekeliling yang ditimpa masalah ini,sama ada ia berbentuk positif mahupun negatif.Seandainya positif,kita sekurang-kurangnya menjadi pembekal dorongan,semangat,memberi mereka kekuatan untuk meneruskan kehidupan.Mereka yang bermasalah ini amat-amat memerlukan perhatian orang di sekitar.Bukan kerana hendakkan perhatian semata-mata,akan tetapi nilai ukhuwah,rasa prihatin kita terhadap saudara yang lain akan menambah lagi kasih sayang,mewujudkan keintiman dalam persaudaraan.Hari ini,dia ada masalah,esok lusa mungkin diri kita pula.Jadi,pada saat itu kita memerlukan mereka.Dorongan dan semangat yang kita bekalkan itu bukan tertumpu pada masalah itu semata-mata,akan tetapi di situlah baja-baja keimanan disiram kembali menghasilkan ubudiah,ketaatan kepada Allah.Alangkah baik jika itu yang berlaku.Sebab yang berjalan,hendak menuju ke destinasi bukan hanya diri kita sahaja,bahkan melibatkan orang lain.Kita mahukan orang lain juga turut sampai ke tempat dituju dengan selamat mengikut cara-cara yang sepatutnya.

Jangan pula kita menjadi racun.Bukan meredakan masalah mereka itu,sebaliknya menambah lagi masalah mereka,menyebabkan mereka rasa tersisih,terasa semakin jauh.Lebih buruk lagi,kita membiarkan mereka terus hanyut dengan kedukaan masalah mereka itu akhirnya mereka semakin jauh daripada Allah.Mereka lupa akan Allah yang mendatangkan masalah tersebut,maka Allah jualah tempat pergantungan yang mutlak.

Kesimpulannya,kita yang tidak ditimpa masalah yang tampak besar itu cuba-cubalah menyelami keadaan si pemasalah,jangan berfikiran negatif terhadap mereka.Berusahalah mencari jalan agar mereka itu mampu menangani masalah tersebut.Bukanlah menjadi keperluan utama untuk mengetahui isi masalah itu,melainkan atas sebab-sebab tertentu akan tetapi lebih penting kita menjadi tulang belakang mereka.Supaya adanya kekuatan untuk mereka menangani masalah dengan baik berbekalkan hidayah daripada Allah.Sesungguhnya,kita sebagai manusia tidak mampu hidup seorang diri,kita perlukan sokongan dan bimbingan daripada orang lain.Hatta,seorang Mukminpun wujud pergantungan terhadap Mukmin yang lain untuk hidup beramal.

‘’Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain ibarat bahan binaan,menjadi penguat antara satu sama lain.’’

Hakikatnya,perubahan seseorang itu asasnya bergantung pada diri itu sendiri.Segala-galanya pada diri.Orang di sekeliling hanya menjadi peniup semangat,menyemarakkan lagi bara api yang hampir padam.Allah tidak akan ubah nasib seseorang itu,melainkan dia sendiri yang mengubahnya.Jadi,kekuatan yang jitu perlu dipupuk dalam diri.Kita empunya yang memiliki hati.Hati yang mana baik hubungannya dengan Allah,maka akan menjadi raja yang baik terhadap anggota yang lain.

Wallahu alam…



0 comments:

Design by Dzelque Blogger Templates 2008

Design by infinityskins.blogspot.com 2008